Monday, November 2, 2009

Banyakkan prasekolah di kawasan Orang Asli - UM 30 Okt 09


JELEBU 29 Okt. - Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri disarankan supaya mewujudkan lebih banyak kelas prasekolah di penempatan Orang Asli di sekitar negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat berkata, ia bertujuan memberikan akses pendidikan awal terhadap golongan kanak-kanak masyarakat itu.

''Langkah ini penting kerana kita tidak mahu melihat taraf pendidikan Orang Asli diabaikan serta disisihkan selain jauh ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini.

''Jika mereka tidak mempunyai kemudahan ini, ia akan menyukarkan ibu bapa mereka untuk menghantar anak-anak ke tadika di luar dari kawasan penempatan kerana kebanyakan keluarga ini tinggal di kawasan pedalaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Penulisan Rencana dan Artikel di Perpustakaan Awam Daerah Jelebu di sini hari ini.

Kata beliau, beberapa perkampungan Orang Asli di sekitar negeri ini telah dikenalpasti untuk dijadikan kawasan cadangan pelaksanaannya.

''Berdasarkan pemerhatian, terdapat tiga buah kampung Orang Asli di daerah ini yang masih tidak mempunyai kemudahan tersebut dan ini telah saya maklumkan kepada JHEOA dan Kemas untuk diberi perhatian," kata beliau

Tambah beliau, sekiranya kemudahan tadika ini tidak disediakan, dikhuatiri kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun di penempatan Orang Asli sukar menyesuaikan diri apabila melangkah ke alam sekolah rendah kelak.

''Jika tidak ada pendedahan awal terhadap pendidikan asas, kita takut apabila masuk darjah 1 nanti A,B,C, pun baru hendak belajar, Ini sekali gus membuatkan mereka ketinggalan berbanding pelajar lain.

''Oleh itu, usaha ini amat penting dalam mempersiapkan mereka selain mendedahkan kanak-kanak ini dengan pendidikan asas seterusnya menerapkan minat untuk mendapatkan pendidikan,'' jelasnya.

Guru berijazah mengajar di prasekolah - UM 3 Nov 09


KUALA LUMPUR 2 Nov . — Guru lulusan ijazah akan diambil bagi menjadi pendidik di peringkat prasekolah di masa depan bagi meningkatkan kualiti pembelajarannya selaras dengan Dasar Pendidikan Negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah menyediakan guru terlatih ini boleh mengurangkan masalah kurangnya penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira dalam kalangan pelajar.

"Kita berpendapat, lagi awal untuk kita mulakan pendidikan anak-anak kita, lagi baik. Maka guru yang kita hendak sediakan mestilah guru yang terlatih, bukan guru yang berkelulusan rendah,” katanya ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) di Dewan Rakyat hari ini.

Tan meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan mempertingkatkan kualiti pendidikan prasekolah dan bagaimana semua kelas tadika yang dianjur oleh kerajaan dan swasta dapat dipantau kurikulumnya serta perbezaan antara prasekolah dengan Program Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (Permata).

Muhyiddin berkata pelajar prasekolah lebih mudah menerima ilmu pengetahuan ketika muda, dan dengan sebab itu, kementerian memberikan perhatian kepada peringkat umur ini terutama dalam usaha mempertingkatkan penguasaan 3M, yang merupakan sebahagian daripada bidang keberhasilan utama (NKRA) Kementerian Pelajaran.

Murid prasekolah naik 87% pada 2012 - UM 3 Nov 09


KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kerajaan menyasarkan peningkatan 87 peratus pendaftaran kanak-kanak prasekolah kepada 447,556 murid pada 2012 berbanding 342,706 murid pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah meningkatkan jumlah kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah itu merupakan usaha menjadikan sistem pendidikan negara terus relevan.
Menurutnya, pada masa sama, ia bagi mencapai matlamat menjadikan prasekolah sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran.
“Pertambahan 104,850 murid itu adalah penyertaan kanak-kanak kohort berusia lima tahun yang mengikuti pembelajaran prasekolah kerajaan dan swasta,” katanya menjawab soalan Abd. Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya memantapkan kemahiran berbahasa serta pembentukan sahsiah positif di kalangan kanak-kanak prasekolah mengikut kurikulum yang dikuatkuasakan sejak 2003 sama ada di sekolah kerajaan mahu pun swasta.Katanya, kurikulum prasekolah sedia ada akan ditambah baik termasuk cadangan memanjangkan 50 peratus tempoh interaksi dalam bahasa Inggeris.
Menurutnya, 4,194 kelas prasekolah baru pula akan dibina menjelang 2012 selain menggalakkan penyertaan pihak swasta melalui cadangan pemberian insentif.
Tambah beliau, kementerian juga memberi latihan kepada guru prasekolah kerajaan dan swasta melalui Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Peningkatan Profesionalisme.“Penyeliaan serta pemantauan bagi memastikan kualiti pendidikan prasekolah dijalankan dari semasa ke semasa.
“Bukan itu sahaja, pelbagai program kesedaran bagi menggalakkan penyertaan ibu bapa terutama di luar bandar serta yang berpendapatan rendah akan dijalankan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Abd. Rahman mengenai masalah murid-murid normal yang keciciran membaca, menulis dan mengira (3M), Muhyiddin berkata, beliau yang menyedari perkara itu.Menurutnya, masalah tersebut berlaku ekoran perbezaan kawasan pendidikan seperti di dalam dan luar bandar.
Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan mengambil inisiatif menyediakan peruntukan RM48 juta melalui Bajet 2010 bagi memperbaiki kelemahan aspek keperluan, kemudahan dan latihan yang tidak mencukupi itu.
Menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Muhyiddin berkata, program Permata di seluruh negara telah menunjukkan prestasi cemerlang dan kementerian bercadang mengembangkannya.