Monday, January 4, 2010

KENAPA PENDIDIKAN PRASEKOLAH PENTING?



Ibu bapa masa kini semakin mengambil berat tentang pendidikan prasekolah. Saban tahun semakin ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka dalam lingkungan 4 hingga 6 tahun ke kelas prasekolah samada prasekolah kerajaan mahupun swasta. Di kawasan luar bandar terutamanya, kesedaran tentang peri pentingnya pendidikan prasekolah dalam kalangan ibu bapa semakin meningkat. Namun begitu, sebagai ibu bapa anda perlu bertanya pada diri sendiri mengapa anda harus mengambil berat tentang pendidikan prasekolah anak-anak anda. Ada tiga alasan utama mengapa anda sebaiknya tidak hanya mendaftar anak anda ke kelas prasekolah, tetapi menjadi aktif terlibat di dalam proses pembelajarannya juga samada di kelas mahupun di rumah.

Pertama, anda harus ingat bahawa pendidikan prasekolah merupakan asas bagi pendidikan anak anda. Perkembangan keterampilan dan pengetahuan ( kecerdasan dan sikap) anak anda pada peringkat prasekolah akan memberi kesan yang dramatik terhadap pembelajaran anak anda ketika memasuki sekolah formal dan membawa kepada kejayaan dalam hidup mereka. Hari ini kita mengharapkan anak-anak kita untuk belajar lebih banyak perkara pada saat mereka mula memasuki umur 4-6 tahun( prasekolah). Sementara generasi sebelumnya hanya mula belajar asas-asas seperti pengenalan warna , nombor dan abjad ketika di sekolah formal, manakala anak-anak saat ini ’dimestikan’ untuk mempunyai kemahiran asas ini ketika mereka belajar di prasekolah.

Alasan lain untuk mengambil berat tentang pendidikan prasekolah adalah bahawa dengan memberikan pendedahan awal dan menggalakkan anak anda belajar di prasekolah anda akan memupuk nilai keyakinan diri dalam diri mereka. Di samping itu juga anak anda akan memperoleh kepercayaan diri melalui pelbagai aktiviti ’bermain sambil belajar’ yang pasti menyeronokkan mereka. Pendidikan prasekolah umpama batu loncatan atau platform yang memberikan asas yang kukuh kepada kanak-kanak prasekolah dan momentum pembelajaran yang mereka terima di peringkat prasekolah ini akan membantu membuat anak anda bersemangat belajar seumur hidup mereka.

Akhirnya, pendidikan prasekolah sangat penting kerana dapat memberikan anak anda kelebihan dalam dunia yang kompetitif dan iklim pendidikan. Bagi anak-anak yang tidak menerima asas-asas pembelajaran selama usia prasekolah, mereka akan mula diajar tentang abjad, nombor, bentuk dan warna ketika mereka mula memasuki pendidikan formal mereka (darjah 1). Kanak-kanak ini akan berada di ’belakang’ kanak-kanak yang sudah mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas ini . Adakah anda ingin anak anda berada di kelas ’hadapan’ atau tertinggal di ’belakang’?

Bagi ibu bapa yang tidak mendaftarkan anak mereka melalui program prasekolah formal, anda boleh mengajar anak anda secara tidak formal di rumah jika anda inginkan. Yang penting adalah anda perlu memastikan anak anda belajar kemahiran yang mereka perlu sepertimana yang dipelajari oleh kanak-kanak di kelas prasekolah. Banyak bahan-bahan bantu mengajar dan buku-buku kerja yang boleh anda perolehi di kedai-kedai buku untuk menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan walaupun di rumah.

Anda sebagai ibu bapa atau penjaga harus mengambil berat tentang pendidikan prasekolah kerana pembelajaran prasekolah merupakan asas yang amat penting sebelum kanak-kanak ini memulakan pendidikan formal. Tidak boleh dinafikan lagi bahawa pendidikan prasekolah boleh meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak dan memberikan mereka kemahiran yang mereka perlukan dari semua aspek rohani dan jasmani.

Monday, December 28, 2009

Jumlah murid prasekolah meningkat 20 peratus- UM 20/11/09



NUSAJAYA 19 Nov. - Jabatan Pelajaran negeri menyasarkan penyertaan pendidikan murid prasekolah meningkat sebanyak 20 peratus menjelang 2012 dengan sasaran pertambahan sebanyak empat peratus pada tahun 2010.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, sasaran berkenaan boleh dicapai berikutan pertambahan jumlah sekolah yang menawarkan kelas prasekolah daripada 627 ke 637 buah sekolah pada tempoh itu.

"Kerajaan negeri sentiasa prihatin dalam menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dengan meliputi peringkat prasekolah hingga ke pengajian tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembentangan bajet negeri Johor 2010 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, terdapat 175 buah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Perpaduan di seluruh negeri yang menekankan kepada penyertaan pelajar daripada pelbagai kaum.

Jumlah itu, katanya, dijangka akan bertambah kepada 177 pada tahun 2010 bagi menampung keperluan masyarakat.

Katanya lagi, Tabika Kemajuan Masyarakat (Kemas) pula menyediakan 772 buah yang menempatkan 19,159 orang murid dan akan ditambah kepada 785 buah pada tahun 2010.

Menurutnya, Jabatan Pelajaran juga menyasarkan semua tenaga pengajar prasekolah akan mendapat penarafan lima bintang (PLB) menerusi program pengukuhan tenaga pengajar prasekolah menjelang 2012.

"Program ini dijangka memberi manfaat kepada seramai 16,852 pelajar di 627 buah sekolah seluruh negeri," katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani menambah, kerajaan negeri mencadangkan supaya elaun guru agama Johor dinaikkan daripada RM500 sebulan kepada RM800 sebulan.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan mengkaji

Monday, November 2, 2009

Banyakkan prasekolah di kawasan Orang Asli - UM 30 Okt 09


JELEBU 29 Okt. - Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri disarankan supaya mewujudkan lebih banyak kelas prasekolah di penempatan Orang Asli di sekitar negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat berkata, ia bertujuan memberikan akses pendidikan awal terhadap golongan kanak-kanak masyarakat itu.

''Langkah ini penting kerana kita tidak mahu melihat taraf pendidikan Orang Asli diabaikan serta disisihkan selain jauh ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini.

''Jika mereka tidak mempunyai kemudahan ini, ia akan menyukarkan ibu bapa mereka untuk menghantar anak-anak ke tadika di luar dari kawasan penempatan kerana kebanyakan keluarga ini tinggal di kawasan pedalaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Penulisan Rencana dan Artikel di Perpustakaan Awam Daerah Jelebu di sini hari ini.

Kata beliau, beberapa perkampungan Orang Asli di sekitar negeri ini telah dikenalpasti untuk dijadikan kawasan cadangan pelaksanaannya.

''Berdasarkan pemerhatian, terdapat tiga buah kampung Orang Asli di daerah ini yang masih tidak mempunyai kemudahan tersebut dan ini telah saya maklumkan kepada JHEOA dan Kemas untuk diberi perhatian," kata beliau

Tambah beliau, sekiranya kemudahan tadika ini tidak disediakan, dikhuatiri kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun di penempatan Orang Asli sukar menyesuaikan diri apabila melangkah ke alam sekolah rendah kelak.

''Jika tidak ada pendedahan awal terhadap pendidikan asas, kita takut apabila masuk darjah 1 nanti A,B,C, pun baru hendak belajar, Ini sekali gus membuatkan mereka ketinggalan berbanding pelajar lain.

''Oleh itu, usaha ini amat penting dalam mempersiapkan mereka selain mendedahkan kanak-kanak ini dengan pendidikan asas seterusnya menerapkan minat untuk mendapatkan pendidikan,'' jelasnya.

Guru berijazah mengajar di prasekolah - UM 3 Nov 09


KUALA LUMPUR 2 Nov . — Guru lulusan ijazah akan diambil bagi menjadi pendidik di peringkat prasekolah di masa depan bagi meningkatkan kualiti pembelajarannya selaras dengan Dasar Pendidikan Negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah menyediakan guru terlatih ini boleh mengurangkan masalah kurangnya penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira dalam kalangan pelajar.

"Kita berpendapat, lagi awal untuk kita mulakan pendidikan anak-anak kita, lagi baik. Maka guru yang kita hendak sediakan mestilah guru yang terlatih, bukan guru yang berkelulusan rendah,” katanya ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) di Dewan Rakyat hari ini.

Tan meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan mempertingkatkan kualiti pendidikan prasekolah dan bagaimana semua kelas tadika yang dianjur oleh kerajaan dan swasta dapat dipantau kurikulumnya serta perbezaan antara prasekolah dengan Program Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (Permata).

Muhyiddin berkata pelajar prasekolah lebih mudah menerima ilmu pengetahuan ketika muda, dan dengan sebab itu, kementerian memberikan perhatian kepada peringkat umur ini terutama dalam usaha mempertingkatkan penguasaan 3M, yang merupakan sebahagian daripada bidang keberhasilan utama (NKRA) Kementerian Pelajaran.

Murid prasekolah naik 87% pada 2012 - UM 3 Nov 09


KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kerajaan menyasarkan peningkatan 87 peratus pendaftaran kanak-kanak prasekolah kepada 447,556 murid pada 2012 berbanding 342,706 murid pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah meningkatkan jumlah kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah itu merupakan usaha menjadikan sistem pendidikan negara terus relevan.
Menurutnya, pada masa sama, ia bagi mencapai matlamat menjadikan prasekolah sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran.
“Pertambahan 104,850 murid itu adalah penyertaan kanak-kanak kohort berusia lima tahun yang mengikuti pembelajaran prasekolah kerajaan dan swasta,” katanya menjawab soalan Abd. Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya memantapkan kemahiran berbahasa serta pembentukan sahsiah positif di kalangan kanak-kanak prasekolah mengikut kurikulum yang dikuatkuasakan sejak 2003 sama ada di sekolah kerajaan mahu pun swasta.Katanya, kurikulum prasekolah sedia ada akan ditambah baik termasuk cadangan memanjangkan 50 peratus tempoh interaksi dalam bahasa Inggeris.
Menurutnya, 4,194 kelas prasekolah baru pula akan dibina menjelang 2012 selain menggalakkan penyertaan pihak swasta melalui cadangan pemberian insentif.
Tambah beliau, kementerian juga memberi latihan kepada guru prasekolah kerajaan dan swasta melalui Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Peningkatan Profesionalisme.“Penyeliaan serta pemantauan bagi memastikan kualiti pendidikan prasekolah dijalankan dari semasa ke semasa.
“Bukan itu sahaja, pelbagai program kesedaran bagi menggalakkan penyertaan ibu bapa terutama di luar bandar serta yang berpendapatan rendah akan dijalankan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Abd. Rahman mengenai masalah murid-murid normal yang keciciran membaca, menulis dan mengira (3M), Muhyiddin berkata, beliau yang menyedari perkara itu.Menurutnya, masalah tersebut berlaku ekoran perbezaan kawasan pendidikan seperti di dalam dan luar bandar.
Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan mengambil inisiatif menyediakan peruntukan RM48 juta melalui Bajet 2010 bagi memperbaiki kelemahan aspek keperluan, kemudahan dan latihan yang tidak mencukupi itu.
Menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Muhyiddin berkata, program Permata di seluruh negara telah menunjukkan prestasi cemerlang dan kementerian bercadang mengembangkannya.

Sunday, October 25, 2009

Pengusaha ikut kurikulum sedia ada, KPM beri lesen - BH 26/10/09

MUAR: Kerajaan akan menyediakan insentif khas bagi menggalakkan lebih banyak pihak swasta menganjurkan kelas prasekolah khususnya di luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata perbincangan mengenai perkara itu akan diadakan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mengenal pasti bentuk skim yang perlu disediakan.

"Kita akan kaji sama ada perlu beri insentif dalam bentuk galakan cukai, membantu menyediakan peluang untuk melatih guru tadika swasta atau mungkin menyediakan tabung pinjaman bagi membolehkan swasta dan orang perseorangan membuka kelas prasekolah.

"Ini perlu untuk membantu ibu bapa, khususnya di luar bandar yang menghadapi masalah menghantar anak mereka ke kelas prasekolah kerana tiada kelas itu di kampung mereka," katanya selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Kerjaya Parlimen Pagoh di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini semalam.

Muhyiddin berkata, pihaknya tidak menghadapi masalah memberi lesen kepada pengusaha kelas prasekolah dengan syarat mereka mengikut kurikulum yang disediakan kementerian.

"Walaupun sekarang beberapa jabatan kerajaan seperti Kemas dan Jabatan Perpaduan selain Kementerian Pelajaran menyediakan kelas prasekolah, ia belum mampu menampung keperluan sehingga masih ada 37 peratus kanak-kanak di seluruh negara tidak berpeluang mengikuti pendidikan awal.

"Ada juga kanak-kanak di luar bandar tidak berpeluang mengikuti prasekolah kerana tiada kemudahan itu disediakan kerajaan di tempat mereka. Masalah ini boleh diatasi jika ada orang perseorangan sedia menganjurkan kelas sedemikian dan jika berminat, kita sedia memberikan galakan," katanya.

Beliau berkata, langkah untuk membabitkan lebih banyak pihak swasta dalam penganjuran kelas prasekolah itu selaras dengan ketetapan dalam Bajet 2010 untuk memberi fokus bagi memperkasakan pendidikan awal.

Mengenai sekolah berprestasi tinggi, Muhyiddin berkata, 20 sekolah yang sudah dikenal pasti akan dijadikan perintis program itu dengan senarainya akan diumumkan tidak lama lagi.

"Pemilihan sekolah itu dibuat bukan berdasarkan pencapaian peperiksaan saja, tetapi beberapa kriteria yang ditetapkan termasuk sejarah sekolah, prestasinya serta tahap kepemimpinan guru di situ," katanya.

Wednesday, October 21, 2009

Bicara Akademik: Selaras prasekolah - Dr. Bustam

Kurikulum perlu diseragam, diajar guru berkelayakan
KEMUNCULAN tadika kerajaan mahupun swasta yang semakin banyak ibarat 'cendawan tumbuh selepas hujan' petanda baik mencapai hasrat kerajaan yang mahu lebih ramai kanak-kanak berumur empat hingga enam mendapat pendidikan awal.

Pilihan kanak-kanak mengikuti pendidikan awal berkualiti kini juga semakin luas berikutan banyak tadika yang mengambil contoh model dari luar negara seperti Headstart yang mula digunakan Kemas berasal dari Amerika Syarikat dan Montessori serta Regio Emilia dari Itali.

Beberapa lagi model seperti High Scope, Bank Street dan Waldorf yang masing-masing dibina bersandarkan falsafah teori dan matlamat menghasilkan asas pembelajaran kanak-kanak sebagai pelapis generasi akan datang.

Dalam hal ini, masyarakat perlu jelas mengenai tahap perkembangan kanak-kanak mengikut peringkat usia dan kaitannya dengan institusi pendidikan prasekolah.

Penjenamaan institusi ini perlu diselaraskan dengan peringkat usia dan keupayaan pembelajaran kanak-kanak. Contohnya, bayi baru lahir hingga empat tahun sesuai diletakkan di institusi taman asuhan (taska).

Cara penjagaan dan pengasuhan kanak-kanak dalam kumpulan umur ini berbeza, justeru, pengasuh perlu dibekalkan ilmu asas akademik bersesuaian dengan keupayaan kanak-kanak, antaranya lebih menumpukan aktiviti bermain sambil belajar.

Manakala bagi kanak-kanak berumur lima dan enam tahun sesuai dimasukkan ke tadika dan diperkenalkan dengan asas akademik yang memberi penekanan bermain sambil belajar menerusi bahan konkrit yang boleh disentuh, dilihat dan diterokai.

Bagi menyediakan kanak-kanak ini menghadapi cabaran kehidupan bermula di peringkat awal persekolahan, aktiviti pembangunan kemahiran membaca, menulis, berfikir, bersosial, kesenian dan pendedahan awal sains antara program yang dijalankan di hampir semua pusat pendidikan awal kanak-kanak kini.

Apa yang membimbangkan ketika ini apabila masyarakat sendiri tidak jelas dengan pemeringkatan usia pembelajaran dan institusi yang sesuai untuk kanak-kanak terbabit.

Malah, ada tadika yang memberi 'homework' atau tugasan sekolah untuk dilengkapkan kanak-kanak di rumah bagi memastikan jaminan pengusaha bahawa murid mampu membaca dan menulis dalam tempoh singkat menerusi program khas dijalankan dapat dibuktikan.

Persoalannya, memadaikah kemahiran intelektual yang begitu ketara menjadi tumpuan kebanyakan pusat pendidikan awal ketika ini hingga ia diibaratkan seperti petunjuk prestasi utama bagi kanak-kanak ini.

Keadaan ini amat membimbangkan kerana terlalu memberi penekanan aspek akademik menyebabkan kanak-kanak akan bosan apabila berdepan dengan pendidikan formal.

Kanak-kanak ini sepatutnya didedahkan dengan aktiviti penerokaan dan asas yang lebih menyeluruh sesuai dengan tahap usianya.

Tidak dinafikan, keupayaan kanak-kanak membaca, menulis dan menguasai kemahiran tertentu pada peringkat umur muda ini, tetapi menimbulkan konflik dalam diri si kecil itu sendiri.

Sepatutnya dalam usia muda kanak-kanak ini diberi pendedahan kreativiti dan memahami hal dunia persekitarannya menerusi pembelajaran yang menyeronokkan.

Dalam hal ini, sewajarnya kita rujuk semula Kurikulum Prasekolah Kebangsaan yang digubal sebagai dokumen rujukan piawaian kepada semua pengusaha tadika seperti yang terdapat dalam pindaan Akta Pendidikan 1996 (Pendidikan Prasekolah).

Perancangan dan penggubalan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan bukan saja mengambil kira pandangan dan falsafah serta teori pendidikan awal kanak-kanak, malah psikologi dan perkembangan mereka dalam pelbagai aspek termasuk bahasa dan komunikasi, kognitif, kerohanian dan moral, sosioemosi, fizikal dan kreativiti serta estetika.

Ia turut berlandaskan prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai pendokong matlamat dan wawasan negara.

Antara nilai berkaitan diri dan negara yang ditekankan dalam kurikulum ini ialah hormat serta setia kepada raja dan pemimpin negara, menamakan gelaran pemimpin seperti raja, Perdana Menteri, Menteri Besar serta menyanyikan lagu kebangsaan dan negeri dengan penuh semangat.

Turut ditekankan pendedahan mengenai keistimewaan negara seperti mercu tanda, bangunan bersejarah, tokoh negara, menyebut nama pelbagai kaum, sambutan hari kebesaran dan perayaan kaum serta mengekalkan keamanan dan perpaduan.

Jelas tumpuan lebih kepada pembangunan intelektual dan fizikal pelajar membuatkan banyak pengendali tadika terlalai menerapkan semangat kenegaraan dan perpaduan.

Hakikatnya, usaha ini boleh diterap dalam pengajaran dan pembelajaran secara spontan dan mudah. Umpamanya dalam memperkenalkan abjad, lazimnya guru akan menamakan objek tertentu seperti 'ayam' bagi huruf A.

Sebaik-baiknya guru hendaklah mengaitkan objek bermakna seperti menanyakan nama rakan sekelas. Contohnya H untuk Hilwa. Ini kerana kanak-kanak lebih mengingati perkara yang terdekat dengannya.

Pendekatan lebih baik dan dapat memperkenalkan unsur perpaduan dalam hal ini adalah dengan meminta murid yang namanya bermula dengan abjad tertentu sama-sama berdiri, sekali gus menandakan wujud persamaan dalam perbezaan kaum di kelas itu.

Bahan pengajaran dan pembelajaran digunakan juga seharusnya berlatarbelakangkan lanskap dan budaya kehidupan masyarakat negara ini supaya persekitaran tempatan lebih dekat di hati kanak-kanak.

Contohnya, bahan ilustrasi hendaklah menggunakan latar tempatan termasuk watak tempatan, haiwan tempatan, bahan cerita tempatan, puisi tempatan yang secara tidak langsung menerapkan kecintaan terhadap budaya tempatan.

Dalam hal ini, selain Kementerian Pelajaran, Tabika Perpaduan antara contoh terbaik dalam melaksanakan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan sebagai garis panduan.

Usaha Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional amat dipuji kerana mendekatkan kanak-kanak pelbagai kaum di kalangan golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar untuk mendokong perpaduan selaras dengan impian negara masa kini iaitu Satu Malaysia.

Bahan pengajaran dan pembelajaran mengetengahkan warisan budaya unik masyarakat pelbagai etnik di seluruh negara yang mempunyai warisan budaya yang unik selain 'Salam Perpaduan' digunakan sebagai ucapan lazim dalam aktiviti harian.

Pelaksanaan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan ini harus dimartabatkan dan ia bergantung kepada pelaksana yang benar-benar faham dan menghayati serta mampu melaksanakan kurikulum seperti yang dihasratkan.

Pembabitan pakar bidang pendidikan awal kanak-kanak dalam penggubalan kurikulum prasekolah perlu dipastikan supaya ia tidak menjadi usaha sekadar melepaskan batuk di tangga serta ada identiti dan cita rasa Malaysia selaras nilai budaya tempatan.

Justeru, guru dan pengusaha tadika perlu menggalas amanah ini sebaiknya selain Kementerian Pelajaran bertanggungjawab memantau pelaksanaannya dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

Latar belakang akademik guru perlu diselaraskan. Kementerian Pelajaran kini melaksanakan dasar bahawa guru yang mengajar di prasekolah sekolah rendah perlu berkelulusan sarjana muda dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Guru sektor swasta dan badan kerajaan juga perlu menyamakan atau merapatkan jurang keilmuan supaya penyampaian pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak dapat diseragamkan.

Selagi jurang keilmuan pendidik tidak sama, hasil pembelajaran kanak-kanak juga tidak sekata. Kesannya impian untuk mencapai matlamat satu Malaysia masih tidak jelas kerana pendidikan paling asas tidak sehaluan gurunya.