Wednesday, October 21, 2009

Bicara Akademik: Selaras prasekolah - Dr. Bustam

Kurikulum perlu diseragam, diajar guru berkelayakan
KEMUNCULAN tadika kerajaan mahupun swasta yang semakin banyak ibarat 'cendawan tumbuh selepas hujan' petanda baik mencapai hasrat kerajaan yang mahu lebih ramai kanak-kanak berumur empat hingga enam mendapat pendidikan awal.

Pilihan kanak-kanak mengikuti pendidikan awal berkualiti kini juga semakin luas berikutan banyak tadika yang mengambil contoh model dari luar negara seperti Headstart yang mula digunakan Kemas berasal dari Amerika Syarikat dan Montessori serta Regio Emilia dari Itali.

Beberapa lagi model seperti High Scope, Bank Street dan Waldorf yang masing-masing dibina bersandarkan falsafah teori dan matlamat menghasilkan asas pembelajaran kanak-kanak sebagai pelapis generasi akan datang.

Dalam hal ini, masyarakat perlu jelas mengenai tahap perkembangan kanak-kanak mengikut peringkat usia dan kaitannya dengan institusi pendidikan prasekolah.

Penjenamaan institusi ini perlu diselaraskan dengan peringkat usia dan keupayaan pembelajaran kanak-kanak. Contohnya, bayi baru lahir hingga empat tahun sesuai diletakkan di institusi taman asuhan (taska).

Cara penjagaan dan pengasuhan kanak-kanak dalam kumpulan umur ini berbeza, justeru, pengasuh perlu dibekalkan ilmu asas akademik bersesuaian dengan keupayaan kanak-kanak, antaranya lebih menumpukan aktiviti bermain sambil belajar.

Manakala bagi kanak-kanak berumur lima dan enam tahun sesuai dimasukkan ke tadika dan diperkenalkan dengan asas akademik yang memberi penekanan bermain sambil belajar menerusi bahan konkrit yang boleh disentuh, dilihat dan diterokai.

Bagi menyediakan kanak-kanak ini menghadapi cabaran kehidupan bermula di peringkat awal persekolahan, aktiviti pembangunan kemahiran membaca, menulis, berfikir, bersosial, kesenian dan pendedahan awal sains antara program yang dijalankan di hampir semua pusat pendidikan awal kanak-kanak kini.

Apa yang membimbangkan ketika ini apabila masyarakat sendiri tidak jelas dengan pemeringkatan usia pembelajaran dan institusi yang sesuai untuk kanak-kanak terbabit.

Malah, ada tadika yang memberi 'homework' atau tugasan sekolah untuk dilengkapkan kanak-kanak di rumah bagi memastikan jaminan pengusaha bahawa murid mampu membaca dan menulis dalam tempoh singkat menerusi program khas dijalankan dapat dibuktikan.

Persoalannya, memadaikah kemahiran intelektual yang begitu ketara menjadi tumpuan kebanyakan pusat pendidikan awal ketika ini hingga ia diibaratkan seperti petunjuk prestasi utama bagi kanak-kanak ini.

Keadaan ini amat membimbangkan kerana terlalu memberi penekanan aspek akademik menyebabkan kanak-kanak akan bosan apabila berdepan dengan pendidikan formal.

Kanak-kanak ini sepatutnya didedahkan dengan aktiviti penerokaan dan asas yang lebih menyeluruh sesuai dengan tahap usianya.

Tidak dinafikan, keupayaan kanak-kanak membaca, menulis dan menguasai kemahiran tertentu pada peringkat umur muda ini, tetapi menimbulkan konflik dalam diri si kecil itu sendiri.

Sepatutnya dalam usia muda kanak-kanak ini diberi pendedahan kreativiti dan memahami hal dunia persekitarannya menerusi pembelajaran yang menyeronokkan.

Dalam hal ini, sewajarnya kita rujuk semula Kurikulum Prasekolah Kebangsaan yang digubal sebagai dokumen rujukan piawaian kepada semua pengusaha tadika seperti yang terdapat dalam pindaan Akta Pendidikan 1996 (Pendidikan Prasekolah).

Perancangan dan penggubalan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan bukan saja mengambil kira pandangan dan falsafah serta teori pendidikan awal kanak-kanak, malah psikologi dan perkembangan mereka dalam pelbagai aspek termasuk bahasa dan komunikasi, kognitif, kerohanian dan moral, sosioemosi, fizikal dan kreativiti serta estetika.

Ia turut berlandaskan prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai pendokong matlamat dan wawasan negara.

Antara nilai berkaitan diri dan negara yang ditekankan dalam kurikulum ini ialah hormat serta setia kepada raja dan pemimpin negara, menamakan gelaran pemimpin seperti raja, Perdana Menteri, Menteri Besar serta menyanyikan lagu kebangsaan dan negeri dengan penuh semangat.

Turut ditekankan pendedahan mengenai keistimewaan negara seperti mercu tanda, bangunan bersejarah, tokoh negara, menyebut nama pelbagai kaum, sambutan hari kebesaran dan perayaan kaum serta mengekalkan keamanan dan perpaduan.

Jelas tumpuan lebih kepada pembangunan intelektual dan fizikal pelajar membuatkan banyak pengendali tadika terlalai menerapkan semangat kenegaraan dan perpaduan.

Hakikatnya, usaha ini boleh diterap dalam pengajaran dan pembelajaran secara spontan dan mudah. Umpamanya dalam memperkenalkan abjad, lazimnya guru akan menamakan objek tertentu seperti 'ayam' bagi huruf A.

Sebaik-baiknya guru hendaklah mengaitkan objek bermakna seperti menanyakan nama rakan sekelas. Contohnya H untuk Hilwa. Ini kerana kanak-kanak lebih mengingati perkara yang terdekat dengannya.

Pendekatan lebih baik dan dapat memperkenalkan unsur perpaduan dalam hal ini adalah dengan meminta murid yang namanya bermula dengan abjad tertentu sama-sama berdiri, sekali gus menandakan wujud persamaan dalam perbezaan kaum di kelas itu.

Bahan pengajaran dan pembelajaran digunakan juga seharusnya berlatarbelakangkan lanskap dan budaya kehidupan masyarakat negara ini supaya persekitaran tempatan lebih dekat di hati kanak-kanak.

Contohnya, bahan ilustrasi hendaklah menggunakan latar tempatan termasuk watak tempatan, haiwan tempatan, bahan cerita tempatan, puisi tempatan yang secara tidak langsung menerapkan kecintaan terhadap budaya tempatan.

Dalam hal ini, selain Kementerian Pelajaran, Tabika Perpaduan antara contoh terbaik dalam melaksanakan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan sebagai garis panduan.

Usaha Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional amat dipuji kerana mendekatkan kanak-kanak pelbagai kaum di kalangan golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar untuk mendokong perpaduan selaras dengan impian negara masa kini iaitu Satu Malaysia.

Bahan pengajaran dan pembelajaran mengetengahkan warisan budaya unik masyarakat pelbagai etnik di seluruh negara yang mempunyai warisan budaya yang unik selain 'Salam Perpaduan' digunakan sebagai ucapan lazim dalam aktiviti harian.

Pelaksanaan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan ini harus dimartabatkan dan ia bergantung kepada pelaksana yang benar-benar faham dan menghayati serta mampu melaksanakan kurikulum seperti yang dihasratkan.

Pembabitan pakar bidang pendidikan awal kanak-kanak dalam penggubalan kurikulum prasekolah perlu dipastikan supaya ia tidak menjadi usaha sekadar melepaskan batuk di tangga serta ada identiti dan cita rasa Malaysia selaras nilai budaya tempatan.

Justeru, guru dan pengusaha tadika perlu menggalas amanah ini sebaiknya selain Kementerian Pelajaran bertanggungjawab memantau pelaksanaannya dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

Latar belakang akademik guru perlu diselaraskan. Kementerian Pelajaran kini melaksanakan dasar bahawa guru yang mengajar di prasekolah sekolah rendah perlu berkelulusan sarjana muda dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Guru sektor swasta dan badan kerajaan juga perlu menyamakan atau merapatkan jurang keilmuan supaya penyampaian pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak dapat diseragamkan.

Selagi jurang keilmuan pendidik tidak sama, hasil pembelajaran kanak-kanak juga tidak sekata. Kesannya impian untuk mencapai matlamat satu Malaysia masih tidak jelas kerana pendidikan paling asas tidak sehaluan gurunya.

No comments:

Post a Comment