Sunday, October 25, 2009

Pengusaha ikut kurikulum sedia ada, KPM beri lesen - BH 26/10/09

MUAR: Kerajaan akan menyediakan insentif khas bagi menggalakkan lebih banyak pihak swasta menganjurkan kelas prasekolah khususnya di luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata perbincangan mengenai perkara itu akan diadakan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mengenal pasti bentuk skim yang perlu disediakan.

"Kita akan kaji sama ada perlu beri insentif dalam bentuk galakan cukai, membantu menyediakan peluang untuk melatih guru tadika swasta atau mungkin menyediakan tabung pinjaman bagi membolehkan swasta dan orang perseorangan membuka kelas prasekolah.

"Ini perlu untuk membantu ibu bapa, khususnya di luar bandar yang menghadapi masalah menghantar anak mereka ke kelas prasekolah kerana tiada kelas itu di kampung mereka," katanya selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Kerjaya Parlimen Pagoh di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini semalam.

Muhyiddin berkata, pihaknya tidak menghadapi masalah memberi lesen kepada pengusaha kelas prasekolah dengan syarat mereka mengikut kurikulum yang disediakan kementerian.

"Walaupun sekarang beberapa jabatan kerajaan seperti Kemas dan Jabatan Perpaduan selain Kementerian Pelajaran menyediakan kelas prasekolah, ia belum mampu menampung keperluan sehingga masih ada 37 peratus kanak-kanak di seluruh negara tidak berpeluang mengikuti pendidikan awal.

"Ada juga kanak-kanak di luar bandar tidak berpeluang mengikuti prasekolah kerana tiada kemudahan itu disediakan kerajaan di tempat mereka. Masalah ini boleh diatasi jika ada orang perseorangan sedia menganjurkan kelas sedemikian dan jika berminat, kita sedia memberikan galakan," katanya.

Beliau berkata, langkah untuk membabitkan lebih banyak pihak swasta dalam penganjuran kelas prasekolah itu selaras dengan ketetapan dalam Bajet 2010 untuk memberi fokus bagi memperkasakan pendidikan awal.

Mengenai sekolah berprestasi tinggi, Muhyiddin berkata, 20 sekolah yang sudah dikenal pasti akan dijadikan perintis program itu dengan senarainya akan diumumkan tidak lama lagi.

"Pemilihan sekolah itu dibuat bukan berdasarkan pencapaian peperiksaan saja, tetapi beberapa kriteria yang ditetapkan termasuk sejarah sekolah, prestasinya serta tahap kepemimpinan guru di situ," katanya.

No comments:

Post a Comment