Monday, November 2, 2009

Banyakkan prasekolah di kawasan Orang Asli - UM 30 Okt 09


JELEBU 29 Okt. - Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri disarankan supaya mewujudkan lebih banyak kelas prasekolah di penempatan Orang Asli di sekitar negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat berkata, ia bertujuan memberikan akses pendidikan awal terhadap golongan kanak-kanak masyarakat itu.

''Langkah ini penting kerana kita tidak mahu melihat taraf pendidikan Orang Asli diabaikan serta disisihkan selain jauh ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini.

''Jika mereka tidak mempunyai kemudahan ini, ia akan menyukarkan ibu bapa mereka untuk menghantar anak-anak ke tadika di luar dari kawasan penempatan kerana kebanyakan keluarga ini tinggal di kawasan pedalaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Penulisan Rencana dan Artikel di Perpustakaan Awam Daerah Jelebu di sini hari ini.

Kata beliau, beberapa perkampungan Orang Asli di sekitar negeri ini telah dikenalpasti untuk dijadikan kawasan cadangan pelaksanaannya.

''Berdasarkan pemerhatian, terdapat tiga buah kampung Orang Asli di daerah ini yang masih tidak mempunyai kemudahan tersebut dan ini telah saya maklumkan kepada JHEOA dan Kemas untuk diberi perhatian," kata beliau

Tambah beliau, sekiranya kemudahan tadika ini tidak disediakan, dikhuatiri kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun di penempatan Orang Asli sukar menyesuaikan diri apabila melangkah ke alam sekolah rendah kelak.

''Jika tidak ada pendedahan awal terhadap pendidikan asas, kita takut apabila masuk darjah 1 nanti A,B,C, pun baru hendak belajar, Ini sekali gus membuatkan mereka ketinggalan berbanding pelajar lain.

''Oleh itu, usaha ini amat penting dalam mempersiapkan mereka selain mendedahkan kanak-kanak ini dengan pendidikan asas seterusnya menerapkan minat untuk mendapatkan pendidikan,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment